Meskipun ia merupakan salah satu filem terbesar yang diterbitkan pada tahun 2019, hanya segelintir pelajar University of massachusetts yang menghadiri tayangan percuma filem”Star Wars: The Rise of Skywalker” yang bertempat di Cinemark Hampshire Mall pada Rabu lepas.
Tujuan utama tayangan tersebut diadakan adalah untuk mengalu-alukan kedatangan pelajar baru dan pelajar pertukaran sarjana muda ke komuniti UMass, ujar koordinator Pelajar Baru Laura Bourque.
“Disebabkan tidak ada minggu selamat datang yang formal bagi pelajar kemasukan [semester] Spring, jadi kami memutuskan untuk mengadakan beberapa acara bagi meraikan peralihan mereka ke kampus,” kata beliau.
“Tujuan aktiviti ini diadakan adalah untuk meraikan pelajar ke kampus, seperti mana yang biasa kami lakukan untuk kemasukan pelajar pada semester Fall. Kami mahu pelajar yang menghadiri acara ini berasa dialu-alukan dan mungkin boleh berhubung dengan rakan sebaya mereka,” tambah Bourque.
Pihak Universiti bekerjasama dengan pihak Hampshire Mall yang beralamat 367 Russell St di Hadley untuk acara seperti Mall Madness sebelum ini yang mana Cinemark juga terlibat. Walau bagaimanapun, ini merupakan kali pertama pihak Universiti bekerjasama secara langsung dengan pawagam tersebut.
“Ini adalah tahun pertama kami mencuba sesuatu seperti ini, jadi kami akan tunggu dan lihat,” kata Bourque sebelum acara tersebut. “Kami berharap sebahagian besar dari pelajar kemasukan Spring berminat dengan filem ini dan acara lain yang dijadualkan pada minggu ini,”
Apabila ditanya kenapa filem ini dipilih, Bourque menjelaskan, “Sebelum cuti, saya bertanya kepada mereka [pelajar yang bekerja di pejabat Orentasi Pelajar Baru] untuk mencari filem yang bakal ditayangkan di pawagam dan memilih satu filem yang menarik minat pelajar. Justeru, mereka memilih “Star Wars.”
Dua orang pelajar yang bekerja di pejabat NSO, Allison Lepine dan Kira Levenson membantu mengagihkan tiket di meja NSO di Campus Center pada petang Rabu. Sekitar jam 2 petang, hanya empat orang pelajar mengambil tiket percuma tersebut daripada keseluruhan 250 tiket bagi tayangan jam 7 malam.
“Kami amat berharap ramai yang akan datang, tapi kami juga faham jika mereka tidak dapat hadir kerana cuaca sejuk dan tambahan pula, lokasi agak jauh,” kata Levenson, pelajar tahun dua jurusan biokimia itu.
Kebanyakan pelajar yang mengambil tiket tersebut adalah pelajar pertukaran, yang mana Levenson menggangap mereka mempunyai akses yang lebih mudah untuk ke pawagam.
“Jika kami mempunyai sebarang tujuan, ianya adalah bagi membolehkan sesiapa sahaja datang mengambil tiket merasakan mereka sangat-sangat dialu-alukan di kampus,” katanya lagi.
Lepine, seorang pelajar tahun tiga kejuruteraan industri menambah “Mungkin memperkenalkan mereka dengan pelajar pertukaran yang lain sama ada berpindah dari atau ke universiti untuk kali pertama.”
Acara ini merupakan sebahagian dari UMass #40Days yang dianjurkan oleh NSO, yang bertujuan mempromosikan pelbagai strategi untuk kejayaan di dalam mahupun luar kampus, semangat dan kebanggaan di UMass dan melibatkan diri di kampus serta komuniti sekitar. Pada permulaan setiap minggu, pelajar pertukaran dan baru boleh melawat laman web dan menyemak acara serta semua penglibatan di kampus.
Abigail Charpentier boleh dihubungi di [email protected] dan diikuti di Twitter @abigailcharp.
Anis Kamarddin adalah penterjemah Bahasa Melayu dan boleh dihubungi di [email protected].
Alif Subardi adalah penyunting Bahasa Melayu dan boleh dihubungi di [email protected].