Satu perkara yang sering menjadi kekeliruan dalam kalangan masyarakat adalah tujuan sebenar Hari Valentine. Ramai mempunyai idea yang salah bahawa Hari Valentine adalah hanya untuk mereka yang berpasangan.
Berlainan dengan sejarah asalnya, menurut Britannica, Hari Valentine kini telah dirayakan sebagai hari romantik. Walaupun setiap orang mempunyai takrifan maksud romantik yang tersendiri, makna keseluruhannya adalah kasih sayang. Oleh hal yang demikian, Hari Valentine sebenarnya adalah hari untuk kita meraikan cinta dan kasih sayang. Perkara ini boleh juga bermaksud sayang terhadap diri sendiri, kasih sayang terhadap rakan-rakan, ahli keluarga, pasangan anda dan mungkin juga haiwan peliharaan anda!
Kepada mereka yang tiada pasangan, terdapat banyak cara untuk meraikan Hari Valentine tanpa pasangan. Sebagai contoh, anda boleh meluangkan hari berharga anda dengan mengasihi diri anda sendiri. Selain itu, jika anda memerlukan teman, anda boleh meluangkan masa bersama rakan-rakan wanita atau lelaki dan meraikan persahabatan anda. Keluarga juga merupakan peneman yang sesuai pada hari berkasih ini. Tambahan pula, anda juga boleh menunjukkan rasa kasih dan cinta anda pada haiwan peliharaan anda.
Kasih Pada Diri Sendiri
Apabila berbicara mengenai kasih pada diri sendiri, pilihan yang ada tidak berkesudahan – Lakukan apa sahaja yang anda rasa terbaik untuk diri anda. Luangkan sedikit masa untuk diri sendiri dan nikmati masa berseorangan.
Jika anda berasa seperti mahu bersantai, ada banyak cara untuk melakukannya. Anda boleh memanjakan diri anda dengan bersarapan di atas katil, mandi air panas, dapatkan urutan badan ataupun pergi ke spa. Membaca buku, menonton rancangan atau filem kegemaran anda, mendapatkan masa tidur tambahan, menulis jurnal, dan mendengar lagu atau podcast merupakan antara cara yang sesuai untuk anda bersantai. Memasak atau membuat makanan kegemaran anda, mencuba hobi baru, melukis, atau melakukan yoga merupakan aktiviti yang sesuai jika anda lebih suka untuk melakukan aktiviti di dalam rumah.
Selain itu, meluangkan masa di luar rumah mampu membuatkan diri anda berasa lebih bersemangat. Jika anda berasa seperti mahu keluar dari rumah, berjalan, berjoging, mendaki bukit atau bersukan adalah antara cara yang bagus untuk merawat jiwa dan menikmati hari anda. Bergantung pada tempat tinggal anda, anda juga boleh pergi ke pantai, memerhati gelagat manusia, dan meneroka alam semula jadi. Antara cara lain untuk anda menikmati masa bersendirian adalah dengan membawa diri anda ke temujanji hanya untuk diri anda sendiri. Anda boleh membeli bunga untuk diri sendiri, menonton filem yang telah lama anda mahu tonton, menikmati makanan yang lazat, melihat persembahan, menghadiri perlawanan sukan, melawat taman tema dan melakukan apa sahaja yang boleh membuatkan anda gembira.
Kasih pada diri sendiri adalah penting bagi kesejahteraan seseorang individu, jadi, pastikan anda mengambil kesempatan hari kasih ini untuk diri anda sendiri. Seperti yang anda boleh lihat, terdapat banyak cara bagi kalian yang tidak mempunyai pasangan untuk memenuhi hari anda dan menjadikan Hari Valentine sebagai hari untuk meraikan diri sendiri.
Kawan-kawan
Jika anda mendapati bahawa anda lebih senang untuk bergaul dengan masyarakat, anda mungkin akan berasa seronok untuk bertemu dengan rakan-rakan di Hari Valentine. Terdapat pelbagai aktiviti yang boleh anda lakukan dengan rakan-rakan anda tidak kira sama ada bersama lelaki atau perempuan.
Bagi wanita, keluar bersuka ria pada waktu malam adalah salah satu cara untuk berseronok. Terdapat banyak idea untuk dicuba, sama ada keluar makan malam atau minum, menonton tayangan atau persembahan, menari, menyanyi karaoke, atau meluangkan waktu malam anda di bandar. Pada masa yang sama, aktiviti pada siang hari bagi wanita juga menyeronokkan. Pertimbangkan untuk pergi membeli-belah, meluangkan masa di spa, menonton perlawanan sukan atau persembahan, meneroka bandar baru, makan tengah hari, kembara di jalan raya, pergi mendaki atau melawat taman tema. Akhir sekali, meluangkan Hari Valentine di dalam rumah juga menyeronokkan jika anda bersama dengan teman yang menghargai anda. Mengadakan maraton filem, memasak atau membuat makanan bersama, mengadakan malam permainan, melakukan sesi penggambaran, malam melukis, melakukan rawatan penjagaan kulit, memesan makanan dari restoran, menulis ucapan Valentines bersama, meminum rosé dan, semestinya, memakan banyak coklat – ia hanyalah tradisi yang anda boleh lakukan.
Walaupun Hari Valentine biasanya dikaitkan dengan pasangan dan Hari Galentine untuk wanita, mengapa tidak menikmati peluang yang sempurna ini untuk hari bagi lelaki? Kini terdapat banyak cara untuk menyambut Hari Valentine sebagai lelaki, sepertimana banyaknya cara yang terdapat bagi wanita. Sebagai contoh, keluar dan membuat sesuatu aktiviti di luar rumah. Menghadiri acara sukan, keluar makan malam atau minum, bermain boling atau golf, menonton tayangan atau persembahan, menyalakan unggun api, pergi mendaki, berkhemah, menonton filem, menaiki bot atau memancing, bersukan atau apa sahaja yang boleh memenuhi jiwa anda. Untuk aktiviti dalaman, juga terdapat pelbagai aktiviti yang anda boleh lakukan. Mengadakan malam permainan, menonton tayangan atau filem, bermain billiard atau damak, memasak makanan bersama-sama, mengadakan pertandingan permainan video, atau hanya meminum bir dan menikmati masa berkualiti bersama-sama. Jangan lupakan manisan juga – ianya sangat penting untuk hari ini.
Terdapat beberapa cara untuk meraikan Hari Valentine sebagai lelaki ataupun wanita, sama ada bersama pasangan ataupun tidak. Ketahui bagaimana anda ingin meluangkan hari ini, dengan siapa anda mahu meluangkan masa bersama, dan manfaatkanlah ia dengan sebaik mungkin.
Keluarga
Bagi kebanyakan orang, keluarga adalah nombor satu – siapakah yang lebih menyayangi anda selain dari keluarga anda sendiri? Inilah sebabnya mereka merupakan kumpulan manusia yang terbaik untuk anda meluangkan Hari Valentine bersama. Tidak kira sama ada anda meluangkan bersama kakak, abang, ibu, datuk, nenek, atau kesemuanya, anda akan berasa seronok bersama keluarga anda. Hari Valentine adalah hari yang bagus untuk menonjolkan tradisi keluarga seperti makan makanan istimewa bersama, menonton filem, membakar biskut istimewa ibu anda, menulis ucapan valentine dan banyak lagi. Jika anda mencari waktu untuk berduaan bersama pasangan, ada banyak perkara intim yang anda boleh lakukan. Sudah semestinya, anda juga boleh meluangkan masa bersama haiwan peliharaan pada Hari Valentine.
Hari Valentine adalah hari untuk semua orang, tidak kira siapa anda, tua manakah anda, atau status hubungan anda. Jika anda memerlukan waktu untuk bersendirian, inilah peluang yang terbaik untuk anda melakukan sedemikian dan buatlah apa sahaja yang membuatkan anda gembira. Sebaliknya, jika anda mencari teman, terdapat banyak cara yang menyeronokkan untuk mengeratkan hubungan anda bersama yang tersayang dan meraikan penghargaan anda terhadap mereka. Jadikan Hari Valentine seperti apa yang anda mahu kerana ia bukanlah khas untuk pasangan sahaja – ia adalah mengenai kasih sayang dan ia adalah untuk semua orang. Raikan hari cinta yang istimewa ini untuk semua bersama perspektif baru terhadap Hari Valentine.
Alexandria Faneuf boleh dihubungi di [email protected]
Muhammad Anas Zainal adalah penterjemah Bahasa Melayu dan boleh dihubungi di [email protected]
Alif Subardi adalah penyunting Bahasa Melayu dan boleh dihubungi di [email protected]