Pada hari Jumaat bersamaan 28 Februari, lebih 5,000 orang telah menandatangani satu petisyen yang meminta supaya pihak University of Massachusetts mengembalikan semula cuti penuh bagi perayaan Thanksgiving pada semester Fall 2020.
Kalendar tersebut yang telah disahkan oleh Senat Fakulti pada semester Spring 2018, dihasilkan oleh sebuah jawatankuasa kecil dan dicadangkan oleh Majlis Hal Ehwal Akademik. Cuti Thanksgiving telah dijadualkan bermula selepas berakhirnya sesi persekolahan pada hari Selasa bersamaan dengan 24 November.
Sebelum semester Fall 2016, Universiti tidak mengadakan kelas hanya pada hari cuti atau hari selepasnya. Pada tahun 2016, 2017, 2018 dan 2019, pelanjutan cuti telah dilaksanakan. Tiada sesi pembelajaran berjalan di antara hari Isnin dan Jumaat, dan ini membolehkan para pelajar untuk bercuti selama lebih dari seminggu.
Walaupun ramai pelajar telah menandatangani petisyen tersebut, ahli University Registrar, Patrick Sullivan menyatakan dalam sebuah e-mel, “ Buat masa ini, saya tidak membayangkan yang pihak universiti akan mengubah kalendar bagi semester Fall 2020”
Sullivan berkata bahawa pihak jawatankuasa kecil memilih hari Selasa dan bukannya Rabu sebagai hari terakhir sesi persekolahan sebelum cuti bermula bagi membenarkan para pelajar untuk mempunyai satu hari tambahan bagi tujuan perjalanan ke destinasi masing-masing. Pada semester Fall 2021, cuti Thanksgiving akan bermula pada hari Selasa sebelum perayaan Thanksgiving.
David Morin, seorang pelajar pasca-siswazah yang berada dalam jawatankuasa kecil AMC berkata bahawa hal percutian Thanksgiving telah “dibincangkan secara meluas” apabila kalendar tersebut dihasilkan. Menurut Morin, “perkara yang paling penting” adalah untuk mempunyai jumlah hari yang sama sepanjang semester.
“Apabila idea untuk memberi cuti sebelum Hari Buruh ditolak, pengurangan tempoh cuti Thanksgiving, bagi saya, adalah pilihan yang terbaik,” kata Morin.
Universiti pada asalnya memulakan semester musim luruh selepas Hari Buruh, sebuah cuti persekutuan pada hari Isnin pertama dalam bulan September. Pada 2020, Hari Buruh jatuh pada 7 September, iaitu tarikh paling lambat yang boleh berlaku.
“Terdapat banyak bantahan terhadap idea untuk memulakan semester sebelum Hari Buruh,” Mori berkata.
Sullivan berkata bahawa permulaan kelas selepas hari Buruh adalah kebiasaan bagi kalendar akademik. “Terdapat beberapa halangan terhadap permulaan awal termasuklah koordinasi jadual dengan Five Colleges.”
Smith College, Hampshire College dan Mount Holyoke College akan mempunyai cuti Thanksgiving yang sama dengan UMass; cuma Amherst College sahaja yang akan mempunyai cuti seminggu pada 2020.
Pada semester musim luruh di mana Hari Buruh adalah sedikit lewat, terdapat kurangnya hari bekerja sebelum Hari Krismas untuk menampung 65 hari kelas, cuti negeri, satu hari membaca, lima hari peperiksaan akhir semester, hari salji dan cuti penuh selama seminggu bagi perayaan Thanksgiving, terang Sullivan.
“Hal ini membawa kepada pengurangan tempoh cuti Thanksgiving sebanyak dua hari, memandangkan ianya adalah pilihan terbaik yang boleh dilaksanakan,” tambah Sullivan.
Morin berkata, “Terdapat juga suara yang mencadangkan supaya peperiksaan akhir semester diadakan pada hari Sabtu atau Ahad dan idea tersebut telah ditolak.”
Pelajar dari luar negeri yang menandatangani petisyen tersebut berkata perubahan tersebut akan member kesan yang besar terhadap perancangan perjalanan mereka. 23 peratus populasi pelajar sarjana muda pada semester Fall 2019 adalah bukan berasal dari Massachusetts.
“Saya hanya pulang ke rumah pada cuti panjang memandangkan saya berasal dari Long Island, New York.” kata Alana Zeilander, seorang pelajar sarjana muda jurusan kewartawanan. Perjalanan kerumahnya mengambil masa selama enam jam memandangkan ketiadaan bas ekspres. “Tempoh sehari yang diperuntukkan membuatkan perjalanan tersebut tidak berbaloi bagi saya melainkan jika saya akan bercuti di rumah buat jangka masa yang lebih panjang.”
“Saya berasa bahawa pihak universiti perlu mengikuti sistem kolej yang lain dan memulakan sesi persekolahan pada pertengahan bulan Ogos atau pada awal September,” kata Zailender apabila ditanya sama ada pengakhiran semester lebih lewat adalah lebih baik.
Seorang lagi pelajar sarjana muda yang menandatangani petisyen tersebut iaitu Caroline Smith, turut bersetuju dengan Zeilander, dan berkata bahawa 8 September merupakan tarikh yang sangat lewat bagi permulaan sesi persekolahan. Smith yang berasal dari Maryland mengetahui tentang petisyen tersebut daripada kawannya dan membuat keputusan untuk menandatanganinya kerana dia berasa bahawa cuti Thanksgiving yang lebih panjang adalah perlu.
“Saya hanya pulang ke rumah pada setiap cuti sebanyak tiga kali sepanjang tahun akademik,” kata Smith. “Perjalanan yang mengambil masa selama tujuh jam adalah sangat panjang untuk hanya pulang ke rumah pada hujung minggu.”
“Saya menyukai cuti yang panjang kerana ia adalah salah satu masa saya dapat bertemu dengan keluarga,” kata Smith. “Dengan adanya lebihan hari di antara masa saya memandu pulang ke rumah dan ke kolej membolehkan saya mendapat rehat yang secukupnya dan bersedia dari segi mental untuk perjalanan pulang.”
Dalam emelnya, Morin berkata bahawa mengikut pengalaman beliau, jawatankuasa kalendar sangat berahsia, sambil menjelaskan satu percubaan untuk mengurangkan tempoh tambah/gugur dari dua minggu ke satu minggu.
“Saya menghentikannya apabila saya mendapat tahu setelah bekerjasama dengan kepimpinan SGA,” terang Morin, dan dia memberitahu tiada wakil pelajar yang hadir di mesyuarat yang membincangkan mengenai tempoh tambah/gugur. “Kami dapat menghalang pengurangan dalam Majlis Hal Ehwal Akademik.”
“Dalam ingatan saya, saya satu-satunya pelajar yang hadir dalam Jawatankuasa Kalendar ketika hal pengurangan tempoh cuti Thanksgiving dibincangkan,” tambah Morin.
Kathrine Esten boleh dihubungi di [email protected] dan dan diikuti di Twitter di @KathrineEsten.
Muhammad Anas Zainal adalah penterjemah Bahasa Melayu dan boleh dihubungi di [email protected]
Alif Subardi adalah penyunting Bahasa Melayu dan boleh dihubungi di [email protected]