Pandemik COVID-19 memberi impak yang mendalam dalam kehidupan kebanyakan orang di seluruh negara dan dunia di pelbagai peringkat. Penamatan semester secara serta-merta di University of Massachusetts dan universiti lain diterima dengan kekecewaan dan kefahaman oleh pelajar.
“Saya amat sedih apabila semester ini berakhir dan saya berasa kami banyak meluangkan masa untuk membesar dan belajar bersama semasa di tahun pertama kolej. Saya mahukan lebih banyak masa bersama orang tersayang dan berjumpa mereka,” kata seorang pelajar tahun pertama Caelin Molloy.
Bagi pelajar tahun akhir pula, mereka berasa amat kecewa; “Bagi saya, ini bermaksud seluruh dunia saya telah terbalik dan saya tidak dapat bergraduasi seperti kebiasaannya,” kata pelajar tahun akhir jurusan ekonomi, Tauqeer Hassan.
“Hal pertama yang datang di fikiran saya adalah saya tidak dapat meluangkan masa di tahun akhir bersama rakan-rakan,” kata seorang lagi pelajar tahun akhir, Ellen Aron sebaik sahaja mendengar berita tersebut.
Dengan Gabenor Massachusetts Charlie Baker menggesa orang ramai mengamalkan penjarakkan sosial bagi mengelakkan penyebaran wabak penyakit dan tidak membebankan sistem penjagaan kesihatan, pelajar kini menghabiskan semester secara atas talian dan menghabiskan masa di rumah berjauhan antara satu sama lain.
Perkara ini mungkin sukar untuk kekal positif sepanjang masa. Pengasingan sosial yang berpanjangan, ditambah dengan kebimbangan mengenai perubatan dan kewangan yang dicetuskan oleh pandemik ini boleh memburukkan lagi keadaan kesihatan mental dan merosakkan keseluruhan kesihatan mental seseorang. Walaubagaimanapun, terdapat pelbagai cara untuk pelajar kekal bersabar dan berkesan menghadapi situasi semasa di samping mengekalkan amalan yang selamat.
Dengan ketiadaan jadual harian dan kitaran berita berterusan yang memberi kesan buruk kepada pelajar, pelajar juga mendapati bahawa susah untuk mengekalkan motivasi. Aachal Gunda, seorang pelajar tahun dua jurusan sains alam sekitar dan biologi percaya “Adalah amat penting untuk mengasingkan diri dari berita dan telefon bimbit semasa dalam pengasingan sosial..berita negatif boleh membuatkan anda lebih tidak bersemangat.”
Emily Lima, pelajar Isenberg School of Management menasihatkan “agar pelajar mengikuti jadual biasa [seperti di kolej] semasa berada di rumah.” Ini bermakna anda perlu tidur seperti biasa, menghadiri kelas atas talian dan memperuntukkan masa untuk membuat kerja sekolah, belajar dan perkara lain yang biasa dilakukan semasa hari persekolahan.
Terdapat pelbagai aktiviti produktif dan menyeronokkan untuk dilakukan semasa kuarantin; membaca buku yang telah lama ditangguhkan, menulis cerita yang anda selalu impikan, mencuba resepi baru, mengedit gambar, bermain permainan kad bersama keluarga, mengubahsuai bilik, meditasi atau berdoa, memulakan projek seni atau belajar bahasa baru. Ambil sedikit masa untuk diri sendiri- aktiviti fizikal dan masa di luar rumah juga penting; pergilah berjalan-jalan atau berlari, menunggang basikal atau meluncur di sekitar kawasan perumahan ataupun bersukan bersama ahli keluarga. Ini adalah antara beberapa aktiviti yang boleh dilakukan pelajar untuk mengisi masa lapang.
Molloy berkata bahawa beliau mengisi masa dengan “membawa anjingnya berjalan-jalan, menunggang basikal dan membuat ukiran pada waktu bersendirian.”
Pelajar tahun satu Lily Berube menikmati “ menonton televisyen, melukis, pergi ke pantai, membaca, mengemas dan membuat kek bersama ibunya.”
“Saya rasa ini adalah waktu terbaik untuk meneroka hobi masing-masing,” kata pelajar Isenberg, Mary Jordan, yang menghabiskan masanya dengan menunggang basikal dan menjahit pakaian baru.” Tetapi, harus diingatkan bahawa “anda tidak seharusnya melakukan sesuatu yang produktif sepanjang masa; ambil sedikit masa untuk diri sendiri,” katanya lagi.
Oleh kerana pelajar hanya terhad untuk berada di rumah, mereka menyatakan perasaan rindu terhadap komuniti dan aspek sosial di kampus-yang membenarkan mereka keluar lewat malam ke dewan makan, pertandingan hoki, perpustakaan atau hanya berjalan di dorm untuk menyapa rakan-rakan.
Pada masa penuh dengan kekacauan dan ketidakpastian ini, masyarakat bergantung harap terhadap satu sama lain untuk menenangkan mereka dan pakar berkata adalah perlu bersosial untuk kesihatan mental. Walaupun begitu, pandemik telah menjadikan situasi ini unik. Pihak CDC mengarahkan untuk kita masih “berhubung dengan orang lain” semasa waktu ini untuk mengurangkan stres dan ini boleh dilakukan melalui meluangkan masa bersama keluarga dan komunikasi atas talian.
“Saya cuba untuk facetime seorang rakan sekurang-kurangnya sekali sehari,” kata Berube.
Banyak pelajar turut menggunakan Zoom, sebuah platform komunikasi video yang sering digunakan kelas atas talian, untuk bersembang bersama rakan dan menonton filem bersama. Ada juga pelajar yang menggunakan masa ini untuk menegur sahabat atau ahli keluarga yang jauh. Aktiviti lain yang turut dijalankan adalah mengumpulkan kereta mereka di ruang parkir pada jarak yang selamat dan berbual, mendengar muzik dan melihat matahari terbenam.
Ramai pelajar telah menyatakan bahawa pandemik ini memberi mereka masa untuk membuat penilaian.
“Saya terpaksa mengimbas semula dan menilai kehidupan saya di UMass untuk tahun ini, lebih awal daripada yang saya jangka, dan saya menyedari betapa bertuahnya diri saya,” ujar Molloy.
Maitreya Marathe, seorang pelajar tahun ketiga, menyedari “keperluan untuk menikmati hidup…tiada siapa sangka semester ini akan dipendekkan, jadi saya berasa selama ini saya tidak ambil endah langsung tentang perkara ini.”
Banyak pelajar turut menyatakan pendapat yang sama; situasi ini telah membuatkan mereka sedar perkara yang mereka tidak ambil peduli sebelum ini- kesihatan diri sendiri dan juga kesihatan orang tersayang dan boleh keluar dari tempat tinggal tanpa ada kekangan dan juga meluangkan masa bersama rakan-rakan. Ini telah memberi inspirasi kepada mereka untuk menggunakan masa yang ada sebaiknya dan menggunakan peluang yang hadir daripada berusaha ke arah satu masa depan yang tidak pasti.
Perkara ini telah mengajak pelajar untuk lebih peka dengan isu semasa di sekitar mereka dan impak yang lebih besar akibat virus ini.
“Saya kini faham untuk tidak memikirkan masalah kecil yang saya hadapi sedangkan terdapat ramai orang yang sedang sengsara akibat penularan wabak ini” kata Aron.
Wabak ini telah menyebabkan kesulitan kepada masyarakat tempatan dan juga masyarakat global, tetapi tempoh ini juga membuktikan ketahanan dan solidariti kita. Kita pasti akan mengatasi wabak ini, dan terdapat pelbagai aktiviti yang kita boleh lakukan sementara menunggu wabak ini reda
Saliha Bayrak boleh dihubungi di [email protected]
Anis Kamarddin adalah penterjemah Bahasa Melayu dan boleh dihubungi di [email protected]
Alif Subardi adalah penyunting Bahasa Melayu dan boleh dihubungi di [email protected]